Umat Islam di Perak diminta hati-hati dengan ajaran meragukan

0
85
Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin

IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menasihatkan agar umat Islam di Perak berhati-hati dengan kemunculan ajaran agama yang meragukan.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pihaknya mengesan kegiatan ajaran meragukan yang kebanyakannya dikaitkan dengan Imam Mahdi.

Beliau berkata, ada antara ajaran itu berselindung di sebalik aktiviti lain.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan umat Islam di Perak supaya lebih berhati-hati dan mengkaji latar belakang individu atau kumpulan tersebut.

“Ada juga orang ni digelar ‘ustaz’, pada hal dia bukan ustaz dan latar belakang pengajiannya (entah) macam mana.

“Dalam menghadapi situasi pandemik ni, muncul benda-benda yang tak elok dan dibangkitkan isu Imam Mahdi dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutup taklimat penarafan masjid sebagai pusat informasi maya di Masjid Negeri Perak, hari ini.

Menurut Mohd Yusop, segelintir individu ini muncul ketika berlaku bencana seperti banjir, untuk mencari pengaruh dengan mengunakan faktor lain seperti ekonomi.

“Dalam keadaan masyarakat kita mungkin menghadapi tekanan ekonomi, ada pihak tertentu menggunakan agama untuk menarik (orang ramai).

“Jadi, saya menasihatkan semua umat Islam di Perak ni, periksa dahulu kelompok-kelompok seumpama ini yang nak menyebarluaskan ajaran yang tidak begitu menyenangkan dan menyesatkan terutamanya dikaitkan selalu dengan Imam Mahdi,” ujarnya.

Mohd. Yusop berkata, umat Islam boleh merujuk atau menyemak latar belakang kelompok-kelompok itu, termasuk yang tular di media sosial, kepada pihak berkuasa agama, termasuk JAIPk dan pegawai agama di seluruh negeri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here