
CYBERJAYA – Kerajaan akan menggunakan vaksin Sinovac sebagai salah satu dos penggalak vaksin Covid-19.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bkaar berkata, langkah itu berikutan wujudnya keengganan penerima dos lengkap vaksin Sinovac menerima vaksin berbeza sebagai penggalak.
Untuk rekod, buat masa ini hanya vaksin Comirnaty keluaran Pfizer dan vaksin AstraZeneca digunakan sebagai dos penggalak.
“Kita ada terima laporan bahawa ada yang menolak mengambil dos penggalak kerana guankan vaksin berbeza.
“Oleh itu, kerajaan membuat keputusan untuk menambah vaksin Sinovac sebagai satu pilihan dalam program pemberian dos penggalak,” kata Khairy Jamaluddin dalam sidang akhbar khas, sebentar tadi.
Katanya, pada masa ini, seramai 3.5 juta penerima dos lengkap Sinovac masih belum menerima dos penggalak mereka.
“Kita masih ada stok vaksin (Sinovac) jadi kita akan beri pilihan kepada mereka (penerima dos penggalak).
“Bagaimanapun, pilihan itu bergantung kepada ‘siapa cepat dia dapat’,” katanya lagi.