
KHARKIV, Ukraine – Puluhan penduduk terbunuh manakala ratusan lagi cedera dalam satu serangan artileri Rusia ke atas bandar itu, hari ini.
Serangan tersebut berlaku ketika delegasi Rusia dan Ukraine dilaporkan sedang mengadakan rundingan damai di Belarus.
Laporan media antarabangsa dan tempatan yang menyiarkan video dan gambar selepas serangan itu dilancarkan, menunjukkan mayat dan individu yang tercedera bergelimpangan di tepi jalan.
Terdapat juga imej yang memaparkan roket BM-21 Grad yang tidak meletup berada di kawasan tersebut.

Bandar Kharkiv terletak di laluan strategik yang perlu ditawan dalam usaha tentera Rusia untuk mengepung ibu negara Ukraine, Kiev.

Sementara itu, delegasi Ukraine meletakkan syarat supaya pihak Rusia mengundurkan tentera mereka sepenuhnya dari Ukraine, dan turut menuntut mereka supaya berundur dari wilayah Crimea dan Donbass.
Delegasi Ukraine diketuai oleh penasihat rapat Presiden Ukraine, Davyd Arakhamia, manakala delegasi Rusia diketuai oleh Penasihat Presiden Rusia, Vladimir Medinsky.