Wanita curi Honda City, rempuh kenderaan ditahan polis

0
53
Tangkap layar kereta yang dilarikan suspek merempuh kenderaan lain di persimpangan lalu isyarat berhampiran Kolej Vokasional Setapak petang semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang bertindak melarikan sebuah kenderaan tidak dimatikan enjin dan kemudian memandu secara agresif di Jalan Genting Klang ditahan polis petang semalam.

Dalam kejadian yang tular di media sosial itu, suspek yang berusia 38 tahun dilihat merempuh beberapa buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat di depan Kolej Vokasional Setapak di sini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata, suspek yang melarikan Honda City milik pasangan suami isteri yang sedang mengangkat barang ke kereta itu didapati memiliki 14 rekod jenayah termasuk penyalahgunaan dadah.

“Mangsa kemudian mendapati kenderaannya dibawa lari seorang wanita menghala ke pusat bandar.

“Mangsa kemudian bertindak meminjam motosikal milik pengawal keselamatan yang berada berdekatan untuk membuat laporan polis.

“Apabila tiba di lampu isyarat hadapan Setapak Central, mangsa mendapati kenderaannya terbabit dalam kemalangan selain suspek telah ditahan oleh orang awam dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Suspek disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan awam.

Dalam video yang tular semalam, sebuah Honda City dilihat menyelit di celah laluan kenderaan secara agresif sebelum ditahan oleh orang awam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here