Warga emas sesat, salah lorong punca ‘termasuk’ lorong motosikal

0
38
Tangkap layar sebuah video apabila sebuah kenderaan memasuki lorong motosikal di Kesas

SHAH ALAM – Akibat panik masuk salah lorong dan tersesat jalan menjadi punca seorang pemandu kereta Suzuki Alto memasuki laluan motosikal di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) di sini pada Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 7.24 malam dan kereta itu dipandu seorang wanita warga emas berusia 69 tahun.

Katanya, ketika kejadian pemandu yang menetap di Banting sedang menuju ke rumah anak saudaranya di sekitar Pandamaran, Klang.

“Setibanya di Kilometer 31.1 Kesas dari arah Klang menghala Kuala Lumpur, wanita berkenaan tersesat jalan dan panik.

“Dia kemudian mahu membuat pusingan u namun tersalah memasuki laluan motosikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramsay berkata, pemandu itu yang menyedari tersalah jalan kemudiannya berhenti dan mengundurkan kenderaan dengan perlahan sebelum memasuki laluan yang betul di lebuh raya itu.

“Dia kemudiannya berhenti di tepi jalan dan menghubungi anak saudaranya untuk mengambilnya di kawasan tersebut,” ujarnya.

Katanya, kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan dengan kenderaan lain dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Semalam tular sebuah video berdurasi 49 saat memaparkan sebuah kereta nyaris berlanggar dengan kenderaan Alto itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here