
CYBERJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menuntut Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memohon maaf di atas kenyataannya yang mendakwa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu pernah meminta supaya siasatan kes rasuah dihadapinya dihentikan.
Ahmad Zahid berkata, sehubungan itu beliau telah mengarahkan pasukan peguamnya untuk mengeluarkan surat tuntutan (LOD) maaf itu.
“Saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengeluarkan LOD kepada Tun M untuk dia memohon maaf atas pembohongannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Dr Mahathir mendakwa Ahmad Zahid pernah bertemunya meminta supaya siasatan kes rasuah terhadap Presiden UMNO itu dihentikan.
Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) itu mendakwa, pertemuan itu berlaku ketika ada ura-ura bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri.
Sementara itu Ahmad Zahid mendakwa beliau telah dijemput bersama-sama dengan presiden-presiden parti oleh Dr Mahathir untuk menyokongnya bagi membentuk kerajaan perpaduan.
Katanya, adalah tidak logik untuk meminta sabitan mahkamah yang dihadapinya digugurkan di hadapan orang ramai.
“Saya tidak pernah sekalipun meminta Tun M untuk berbuat demikian. Mana mungkin saya melobi untuk digugurkan tuduhan sebelum Tun M menjadi PM7, kerana ketika itu saya adalah TPM dan tiada sebarang siasatan rasuah, jauh sekali dikenakan pertuduhan,” katanya.