
CYBERJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan rasa kesal apabila nama bapanya dipermainkan dengan diberi gelaran kurang baik oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu ceramah di Johor kelmarin.
Ahmad Zahid berkata, sebagai anak pastinya dirinya berasa sedih apabila nama bapak dipermainkan dan dihina sebegitu rupa oleh bekas menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH);itu di khalayak ramai.
“Ramai bertanya apakah saya tidak geram dengan perbuatan Presiden Bersatu mempermainkan nama bapak saya untuk ditertawakan oleh penyokong PN?
“Saya juga seperti anda semua anak kepada seorang ayah. Allahyarham Hj. Raden Hamidi Bin Hj. Raden Abdul Fateh bapak yang sangat saya kasihi dan sayangi.
“Sebagai anak pastinya saya berasa sedih apabila nama bapak dipermainkan dan dihina sebegitu rupa oleh bekas menteri kerajaan PH itu di khalayak ramai.
“Ayuh rakyat Malaysia janganlah kita seperti itu hanya kerana berbeda pendirian politik sehingga pupus nilai kemanusiaan dan kesopanan sesama kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam ceramah mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelmarin, Muhyiddin menggelar nama Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu sebagai ‘Zahid Komedi’ sebelum disambut dengan gelak tawa penyokong parti itu.
Selain itu, Muhyiddin turut mendakwa Ahmad Zahid meminta kes mahkamah yang sedang dihadapinya dibatalkan sebagai balasan menyokongnya sebagai Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid secara sinis turut melahirkan perasaan simpati terhadap Muhyiddin yang sedang terdesak untuk menang dalam pilihan raya.
“Saya seterusnya menyatakan dari lubuk hati yang paling dalam saya sebenarnya berasa simpati terhadap Tan Sri Datuk Haji Mahiaddin bin Md. Yasin.
“Simpati melihat karakternya yang sedang amat tertekan, terdesak dan keresahan untuk berdepan PRN Johor sehingga meroyan dan meranyah sebegitu buruk.
“Setiap insan memiliki hati sama-samalah kita mendoakan agar Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Md. Yasin sentiasa diberi kesihatan yang baik oleh Allah SWT,” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Zahid juga menafikan meminta kes mahkamahnya dimansuhkan ketika Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri dua tahun lalu.
“Jika benar saya marah beliau tidak mahu melepaskan kes mahkamah pastinya beliau tidak mampu jadi Perdana Menteri sehingga 17 bulan lamanya.
“Jika benar saya marah beliau tidak mahu melepaskan kes mahkamah pasti sudah lama Malaysia berdepan PRU-15.
“Malah saya cekal menghadapi pendakwaan terpilih yang dikenakan oleh kerajaan PH terhadap saya diatas prinsip berani kerana benar.
“Tidak sesekali saya sanggup menggadaikan UMNO apatah melompat parti mahupun berselingkuh dengan musuh untuk mengelak daripada didakwa,” tegasnya.
Ahmad Zahid berkata, jika mahu terlepas daripada pendakwaan terpilih beliau boleh memilih untuk bekerjasama dengan Bersatu dan mengabaikan mandat akar umbi UMNO.
“Sebenarnya kita harus berasa sangsi dengan dakwaan yang dibuat oleh seseorang yang telah terbukti mampu untuk berbohong dan memutarbelit apa sahaja demi kuasa.
“Sehingga sanggup memutarbelit titah Yang di-Pertuan Agong tentang Ordinan Darurat untuk berbohong kepada Parlimen, malah tergamak menipu nama sebenar.
“Sanggup merancang “scheme of things” yang melanggar undang-undang dan prinsip demokrasi bagi ‘membeli’ sokongan wakil rakyat supaya bertambah berkuasa. Sanggup menawarkan sogokan secara terbuka di kaca TV kepada Ahli Parlimen supaya menyokongnya kekal sebagai Perdana Menteri.
“Saksikan sekutu politiknya sendiri semasa PRU-14 yang kemudian menjadi seteru selepas berpecah turut berdepan pendakwaan semasa beliau memegang kuasa Perdana Menteri,” katanya.