
MELAKA: Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman berkata, Zoo Melaka ditutup selama lima hari bermula hari ini ekoran seorang daripada penjaga haiwan zoo berkenaan dikesan positif Covid-19.
Shadan berkata, penutupan itu bertujuan memberi laluan untuk kerja-kerja sanitasi di Zoo Melaka termasuk kemudahan di dalamnya antaranya kafe, pentas persembahan haiwan, kaunter tiket dan stesen trem, dapat dilakukan secara menyeluruh selama tiga hari bermula esok.
“Setakat ini hanya seorang kakitangan Zoo Melaka didapati positif dan jangkitan adalah daripada ahli keluarga tapi kita terpaksa menutup sementara zoo ini sebagai langkah awal untuk mengekang penularan Covid-19 sekali gus mengelak berlaku kluster baharu memandangkan kes positif Covid-19 di Melaka juga semakin meningkat.
“Penutupan ini bagaimanapun tidak melibatkan operasi pentadbiran dan pengurusan haiwan di Zoo Melaka…ia berjalan seperti biasa,” katanya dalam sidang akhbar berkaitan penutupan sementara Zoo Melaka di pejabatnya hari ini.
Mengulas lanjut, Shadan berkata, kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan dan pembersihan kawasan zoo tersebut juga akan dijalankan sepanjang penutupan sementara itu sebagai persediaan menghadapi cuti sekolah yang akan bermula pada 26 Februari hingga 20 Mac ini.
Sementara itu katanya, jumlah pengunjung ke Zoo Melaka dijangka terus meningkat sepanjang sesi cuti persekolahan berkenaan dan pihaknya perlu memastikan persediaan rapi daripada aspek prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan fizikal dapat dipatuhi.
“Lebih banyak pintu masuk ke Zoo Melaka akan dibuka bagi memastikan pengunjung tidak beratur panjang dan mengelak mereka berkumpul di luar terlalu lama. Dengan keluasan 21.04 hektar, Zoo Melaka, dapat menampung 3,000 pengunjung dalam tempoh satu-satu masa.
“Pada cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini, Zoo Melaka merekodkan sebanyak 32,800 pengunjung dalam tempoh tiga hari bermula 1 Februari dengan purata 10,000 pelancong pada setiap hari bagi tempoh tersebut,” katanya.