2 lelaki bertindak ala samseng jalanan halang ambulans diberkas polis

0
208
Tangkap layar video sebuah van yang cuba menghalang laluan ambulans di Klang semalam

KLANG – Polis menahan dua lelaki yang bertindak ala samseng dengan menghalang laluan sebuah ambulans yang dalam perjalanan menghantar pesakit dialisis ke sebuah pusat perubatan di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, penangkapan mereka susulan laporan dilakukan pemandu perkhidmatan ambulans tersebut pukul 2.23 petang semalam terhadap dua buah kenderaan termasuk motosikal yang menghalang ambulans berkenaan.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berusia 30 dan 53 tahun ditangkap pukul 4 petang sekitar daerah ini.

“Berdasarkan siasatan mendapati, ambulans itu telah diekori rapat dari rapat oleh sebuah van jenis Toyota Hiace warna putih sewaktu melalui kawasan Jalan Tepi Sungai Klang.

“Pemandu ambulans kemudiannya telah menegur pemandu van tersebut dengan menggunakan pembesar suara agar menjarakkan kenderaan.

Seorang lelaki cuba menghalang laluan ambulans yang sedang dalam perjalanan menghantar pesakit ke hospital

“Tidak lama kemudian, seorang lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Modenas Kriss warna biru telah menghentikan motosikalnya di hadapan ambulans tersebut dan menghalang pergerakkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudiannya telah turun dari motosikalnya dan menghampiri pintu bahagian pemandu dan mengarahkan pemandu untuk turun dari ambulans.

Katanya, pemandu ambulans itu bagaimanapun terus mengundurkan kenderaan bagi mengelakkan apa-apa kejadian yang tidak diingini.

“Pada masa masa, van yang mengekori ambulans telah berhenti di tepi ambulans tersebut. Pemandu van terus mengelak kedua-dua kenderaan dan meneruskan perjalanan ke hospital,” katanya.

Dalam pada itu, Hoong Fong berkata, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod lampau.

“Permohonan reman terhadap dua suspek akan dilakukan di Mahkamah Klang, esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan awam dan di bawah Seksyen 341 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan halangan salah,” katanya.

Terdahulu, kejadian itu tular menerusi video berdurasi dua minit 22 saat di laman sosial Facebook.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here