
GURUN – Dua lelaki maut selepas dirempuh lori di Kilometer 92.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Arah Selatan, dekat sini, hari ini ketika berteduh daripada hujan lebat.
Dalam kejadian ketika kira-kira jam 3.30 petang itu, beberapa penunggang motosikal turut cedera, lapor BH Online.
Difahamkan, mereka dirempuh lori yang dikatakan mengalami kerosakan sehingga pemandu lelakinya hilang kawalan.
Akibatnya, lori berkenaan terbabas ke tepi lebuh raya dan merempuh beberapa penunggang motosikal sehingga menyebabkan mereka tercampak ke dalam longkang berhampiran.
Dalam video dan foto yang tular di media sosial, kelihatan tiga lelaki sedang merintih menahan kesakitan akibat kecederaan dialami selepas dirempuh lori.
Dua daripada mangsa tercampak ke dalam longkang manakala seorang lagi dilihat dalam keadaan berlumuran darah di bawah jejambat.
Difahamkan, sekurang-kurangnya sembilan motosikal berada di bawah jejambat itu manakala jumlah keseluruhan mangsa yang terbabit dalam nahas berkenaan masih disiasat.
Setakat ini, pihak polis dilaporkan baru selesai menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan dua mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk tindakan lanjut.