
CYBERJAYA – Kes baharu Covid-19 terus merekodkan kes tertinggi apabila sebanyak 33,406 kes dilaporkan setakat semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes baharu itu menjadikan kes kumulatif sebanyak 3,595,172 kes.
Beliau berkata, daripada jumlah itu kes import adalah sebanyak 342 kes dengan 282 adalah warganegara manakala bakinya bukan warganegara.
“Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) adalah 371 kes (131 kes disahkan Covid-19; 240 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan); dan kes memerlukan bantuan pernafasan: 226 kes (74 kes disahkan Covid-19; 152 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, katanya, daripada kes yang dilaporkan itu sebanyak 13,157 kes atau 39.39 peratus berada pada kategori satu dan 20,035 kes atau 59.97 peratus berada pada kategori dua.
Beliau berkata, kategori tiga pula sebanyak 92 kes atau 0.28 peratus, kategori empat sebanyak 69 kes dan kategori lima sebanyak 53 kes.
“Daripada 214 kes Covid-19 kategori tiga, empat dan lima yang baharu dilaporkan semalam, 60 kes (28.04 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi dan 101 kes (47.20%) telah menerima dua dos vaksin menerima dos penggalak Covid-19 tetapi belum menerima (booster).
“Selain itu, 53 kes atau 24.77 peratus telah menerima dos penggalak, 96 kes berumur 60 tahun dan ke atas, 70 kes mempunyai komorbid; dan satu kes adalah kes ibu mengandung,” ujarnya.