Agihan dividen KWSP merosot RM5.4 bilion jika pengeluaran RM10,000 dilaksanakan

0
34
Tengku Zafrul Abdul Aziz

CYBERJAYA – Kerajaan perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM63 bilion sekiranya pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 diluluskan untuk 6.3 juta ahli yang layak memohon.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, untuk menampung pengeluaran itu, kerajaan juga perlu menjual aset KWSP di luar negara.

“Sekiranya pengeluaran tambahan dibenarkan, KWSP perlu melaksanakan pengimbangan portfolio dan impaknya mungkin lebih daripada pengeluaran berjumlah RM63 bilion.

“Kalau kita nak sediakan pengeluaran berjumlah RM63 bilion, KWSP perlu menjual lebih banyak aset luar negara dalam keadaan pasaran negara tidak menentu,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Sebaliknya kata beliau, KWSP boleh membuat agihan dividen simpanan sehingga 6.7 peratus iaitu kira-kira RM5.4 bilion berbanding 6.1 peratus sekiranya pengeluaran khas itu tidak dilaksanakan.

Beliau berkata, kehilangan RM5.4 bilion daripada jumlah dividen itu juga akan menyebabkan 5.3 juta ahli yang tidak pernah mengeluarkan wang simpanan terpaksa menerima pulangan yang lebih rendah yang disifatkan Tengku sebagai kesan yang tidak adil.

“Saya ingin bertanya kepada YB sekelian yang mewakili pencarum yang tidak perlu mengeluarkan simpanan mereka, adakah ini adil?” soalnya.

Beliau memberitahu, secara keseluruhan, di bawah ketiga-tiga pengeluaran KWSP – i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra – pencarum telah akses kepada dana persaraan mereka sehingga RM71,000 dan telah memanfaatkan lebih 7.3 juta ahli atau 58 peratus daripada 12.7 juta ahli dengan amaun pengeluaran berjumlah RM101 bilion.

Sebelum ini, beberapa pemimpin pembangkang, termasuk Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng senada dengan Umno dalam memperjuangkan pengeluaran khas KWSP secara “one off” berjumlah RM10,000.

Anwar dan Lim menyokong pengeluaran itu, susulan keluhan rakyat dalam siri jelajah kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here