Ahli Parlimen tidak dikira lompat parti jika parti terbubar atau dilantik sebagai Speaker

0
13
Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Seseorang Ahli Parlimen tidak dikira melompat parti sekiranya parti politik yang diwakilinya terbubar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, terdapat tiga pengecualian yang ditetapkan dalam draf Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) berhubung Anti Lompat Parti.

“Dalam rang undang-undang yang kita gubal ini, ada tiga pengecualian yang pertama pengecualian parti itu terbubar dengan sendirinya orang itu tidak diistilahkan sebgai lompat parti dan dikekalkan sebagai Ahli Parlimen.

“Kedua ialah apabila sesorang itu dilantik menjadi Speaker Dewan sama ada Dewan Rakyat atau Dewan Negara, keahliannya tak dikatakan sebagai lompat parti.

“Selain itu, dia juga akan kekal sebagai Ahli Parlimen apabila berlaku pergabungan antara parti dan parti lain. Itu tidak dikatakan lompat parti,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Senator Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya di Dewan Negara hari ini.

Terdahulu, Wan Junaidi menjelaskan tiga perkara utama mengistilahkan seseorang Ahli Parlimen melompat parti, dalam draf pentadbiran Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) berhubung Anti Lompat Parti.

Beliau berkata, apabila seorang Ahli Parlimen yang memenangi pilihan raya dan kemudian mengumumkan keluar parti politik dengan menyatakan menjadi ahli Bebas atau menyertai parti politik lain adalah dikirakan telah melompat parti.

“(Kedua) Seorang Ahli Parlimen telah memenangi kerusi Parlimen tetapi dipecat oleh parti juga dikirakan sebagai melompat parti. Ini bagi tujuan untuk memastikan Ahli Parlimen patuh kepada perlembagaan dan peraturan serta disiplin parti.

“Parti yang memecat ahli Parlimen akan berhadapan risiko kehilangan kerusi dan pilihan raya perlu diadakan semula, katanya menjawab soalan Senator Datuk John Ambrose di Dewan Negara, yang ingin tahu sejauh mana tindakan serta perancangan telah dirangka dalam melaksanakan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti,” katanya.

Wan Junaidi berkata, tindakan lompat parti itu juga termasuk bagi Ahli Parlimen Bebas yang memenangi kerusi ditandingi pada pilihan raya, namun mengumumkan menyertai mana-mana parti politik selepas kemenangannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here