Air sungai naik ke paras bahaya, penduduk Dengkil mula tak senang duduk

0
158
Salah seorang penduduk Taman Semarang Indah memantau paras Sungai Dengkil petang tadi

SEPANG – Penduduk di sekitar Dengkil di sini mula resah dan bimbang selepas air Sungai Dengkil mula melimpah susulan hujan lebat petang tadi.

Berdasarkan info banjir Jabatan Perairan Selangor (JPS) paras air di stesen Jenderam Hilir dan Dengkil mula menunjukkan amaran bahaya selepas masing-masing mencecah paras 12.8 meter (m) dan 7.79 m setakat pukul 8 malam tadi.

Tinjauan penduduk Taman Semarang Indah di sini sebentar tadi mendapati air sungai mula melimpah dan memasuki ladang kelapa sawit berhampiran.

Menurut seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ali, situasi berkenaan menyebabkan penduduk sekitar bimbang sekiranya banjir besar yang melanda sebahagian besar Dengkil dan kawasan perumahan itu pada Disember tahun lalu berulang semula.

Lebih membimbangkan katanya, apabila terdapat ura-ura empangan akan dibuka pada pukul 11 malam ini.

“Sejak pukul 6.30 petang tadi air sungai sangat deras dan cepat naik dan melimpah sehingga ke tebing sungai.

Paras air Sungai Dengkil yang mencatatkan paras berbahaya sejak malam tadi

“Penduduk sekitar Dengkil juga mendengar ura-ura empangan akan dibuka pukul 11 malam ini selepas Hulu Langat mula dilanda banjir sebentar tadi,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Dalam pada itu, menurut seorang lagi penduduk yang dikenali sebagai Faizal, keadaan banjir di Kuala Lumpur petang tadi juga menyebabkan penduduk sekitar semakin bimbang.

Katanya, ia mengimbas semula keadaan cemas ketika banjir Disember lalu yang mana ibu negara juga terlibat.

“Sekarang penduduk mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan hujan masih belum berhenti dan air sungai mula melimpah. Dibimbangi keadaan banjir seperti 18 Disember tahun lalu berulang semula sehingga menenggelamkan seluruh kawasan perumahan di sini,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here