Akta DBP akan dipinda, beri kuasa DBP ambil tindakan pihak salah guna bahasa Melayu

0
20
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan diperkasakan dengan DBP bakal diberikan kuasa penguatkuasaan.

Perdana Menteri berkata, menerusi kuasa yang diberikan itu, DBP boleh mengambil tindakan terhadap pihak yang menyalahgunakan bahasa Melayu.

“UMNO mesti menjuarai dalam memartabatkan bahasa Melayu seperti di dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 yang juga termaktub dalam perlembagaan UMNO fasal 3.5.

“Sudah tiba masanya kita perlu bangga dengan bahasa Melayu, justeru tidak ada sebab untuk kita rasa janggal berbahasa melayu walaupun di pentas antarabangsa kerana ‘Bahasa Jiwa Bangsa’.

“Akta Dewan Bahasa dan Pustaka akan diperkasakan dengan DBP akan diberikan kuasa penguatkuasaan sebagai contoh penggunaan bahasa Melayu di papan-papan tanda, DBP boleh mengambil tindakan terhadap penyalah gunaan kuasa,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 hari ini.

Ismail Sabri berkata, menerusi pindaan itu juga mana-mana pelanggaran bahasa termasuk di peringkat daerah akan diambil tindakan oleh DBP.

Pada masa sama, katanya, semua pelajar asing di Malaysia juga wajib mempelajari bahasa Melayu.

“Saya telah maklumkan kepada Menteri Pengajian Tinggi dan beliau bersetuju supaya semua pelajar asing di negara kita wajib mempelajari Bahasa Melayu.

“Lebih 300 juta penduduk ASEAN menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan. Bahasa Melayu adalah bahasa ketujuh jumlah penutur teramai di dunia. Cita-cita saya untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here