Azizulhasni dinobat Olahragawan Kebangsaan kali ke empat

0
13
Azizulhasni Awang.

CYBERJAYA – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan atlet wushu negara, Tan Cheong Min dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019/2020 yang berlangsung malam ini.

Penganugerahan yang diterima Azizulhasni itu merupakan kali keempat diterimanya selepas pengiktirafan pada tahun 2009, 2010 dan 2018.

Kejayaannya meraih dua gangsa pada Kejohanan Dunia di Berlin 2020 dalam acara pecut dan keirin, serta emas acara pecut Kejohanan Berbasikal Asia 2019 membolehkan Azizulhasni mengetepikan empat calon lain.

Kemenangan pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu menyamai pencapaian legenda sukan tanah air, Datuk Rashid Sidek dan Datuk Lee Chong Wei.

CTan Cheong Min

Sementara itu, Cheong Min mengetepikan beberapa calon atlet wanita lain termasuk Pandelela Rinong Pamg (terjun) dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik).

Bekas juara dunia 2019 yang meraih emas (Nandao) dan perak (Nanquan) pada Kejohanan Dunia Ke-15 di Shanghai, China 2019 merupakan atlet wushu pertama yang memenangi anugerah berprestij itu.

Dalam kategori Olahragawan Paralimpik, R. Suresh (memanah) menerima habuan yang sama sekaligus melayakannya membawa pulang hadiah berupa trofi, blazer dan wang tunai RM20,000 seperti diterima Mohd Azizulhasni dan Cheong Min.

R. Suresh

Majlis diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Berikut adalah senarai penuh penerima pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019/2020:

  1. Olahragawan Kebangsaan – Datuk Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal)
  2. Olahragawati Kebangsaan – Tan Cheong Min (wushu)
  3. Olahragawan Paralimpik Kebangsaan – S. Suresh (para memanah)
  4. Olahragawati Paralimpik Kebangsaan – Tiada pemenang
  5. Pasukan Lelaki Kebangsaan: Pasukan tenpin boling (trio) – Muhammad Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Mohd Fishol, Muhammad Syafiq Ridhwan Abdul Malek
  6. Pasukan Wanita Kebangsaan: Pasukan terjun seirama – Datuk Pandelela Rinong Pamg, Datuk Leong Mun Yee
  7. Jurulatih Lelaki Kebangsaan – Marzuki Zakaria (para memanah)
  8. Jurulatih Wanita Kebangsaan – Nor Hashimah Ismail (lawn bowls)
  9. Anugerah Tokoh Sukan – Datuk Sieh Kok Chi
  10. Anugerah Kepimpinan Sukan – Allahyarham Datuk Seri Zolkples Embong, Datuk S. Vegiyathuman, LT KDR (B) Kamaruzaman Kadir
  11. Anugerah Khas – Persatuan Hoki Negeri Perak (Piala Sultan Azlan Shah), Sekolah Kebangsaan Lemoi, Kelab Penyokong Sukan Malaysia Famemas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here