Berbalah isu pasang bendera, polis jalankan siasatan lanjut

0
41
Tangkap layar beberapa orang lelaki berbalah disebabkan tidak berpuas hati bendera parti dipasang di pintu masuk sebuah kampung

JOHOR BAHRU – Polis menjalankan siasatan terhadap sekumpulan individu susulan tular satu rakaman video di media sosial yang memaparkan perbalahan dipercayai membabitkan isu pemasangan bendera parti di pintu masuk sebuah kampung di Iskandar Puteri.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, rakaman video itu dikesan tular pada jam 6 petang semalam, namun pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu, lapor Bernama.

“Polis mengesan rakaman yang memaparkan pertengkaran mulut membabitkan beberapa individu terdiri daripada ahli parti yang berbeza. Polis masih belum menerima sebarang laporan berhubung insiden itu, namun sudah mula menjalankan siasatan.

“Kami meminta orang ramai atau saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau juga meminta netizen supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

Dzulkhairi turut menasihatkan semua pihak yang terbabit dalam gerak kerja parti supaya mengawal tingkah laku dan emosi sepanjang perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bagi mengelakkan sebarang kekecohan atau insiden yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here