Cadangan hadkan kelajuan kenderaan di kawasan terpilih di KL sedang diperhalusi

0
22
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Cadangan mengehadkan had laju kenderaan pada kelajuan 30 kilometer sejam (kmj) hinga 50 kmj di kawasan terpilih di ibu kota masih sedang diperhalusi.

Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, pihak Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) dimaklumkan bahawa Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sedang melaksanakan kajian rintis terhadap kebolehlaksanaan cadangan itu.

“Pada masa kini DBKL dimaklumkan bahawa kajian rintis terhadap kebolehlaksanaan cadangan had laju ini masih di dalam perincian serta penelitian oleh pihak MIROS dan MIROS menjangkakan untuk menghantar kertas cadangan untuk melaksanakan kajian tersebut kepada DBKL pada separuh kedua tahun 2022.

“Hasil kajian ini akan menjadi penanda aras bagi kesesuaian dan pemilihan ciri-ciri kawasan/jalan untuk pelaksanaan cadangan had laju ini,” kata Jalaludin di Parlimen, hari ini.

Jelas Jalaludin, kajian rintis itu dijangka akan dibentangkan kepada DBKL pada April depan, dan sekiranya diterima, pelaksanaan pengehadan had laju itu akan dilaksanakan mulai September 2022.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Senator Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya.

Jalaludin kemudiannya menjelaskan, pelaksanaan cadangan itu hanya akan meliputi kawasan yang telah diwartakan sehingga 60kmj.

“Jalan-jalan yang telah diwartakan had kelajuan 70kmj dan 80kmj tidak termasuk dalam skop kajian penurunan had laju oleh MIROS,” katanya lagi.

Antara jalan yang tidak termasuk dalam cadangan itu adalah Jalan Tun Razak dan Jalan Loke Yew (had laju 70kmj), dan Jalan Syed Putra dan Lebuhraya Mahameru (had laju 80kmj).

Untuk rekod, cadangan menghadkan had laju kenderaan di kawasan-kawasan terpilih di sekitar ibu kota diketengahkan melalui perjumpaan antara Ketua Lembaga Pengarah MIROS bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur pada Januari lepas.

Langkah ini adalah berdasarkan Kempen Minggu Keselamatan Jalan Raya Global Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-Enam (6th UN Global Road Safety Week) dimana had kelajuan 30kmj dapat mengurangkan kecederaan daripada kemalangan kepada golongan berisiko tinggi seperti pejalan kaki, basikal dan motosikal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here