Cef Casa de Madani ambil bahagian dalam Culinaire Malaysia

0
19
Barisan cef muda Casa de Madani.

CYBERJAYA – Empat cef Casa de Madani akan mengambil bahagian dalam pertandingan Culinaire Malaysia 2022 bermula esok hingga 1 April.

Keempat-empat cef berkenaan – Muhammad Nazirul Afiq Mazlan, Al Izwan Borhan, Nik Jasmira Jamaludin dan Ain Nazura Jahaya – masing-masing akan mengambil bahagian dalam dua kategori pertandingan.

Casa de Madani merupakan salah satu cabang perniagaan Kumpulan Malakat Eco yang turut meliputi bidang peruncitan dan pendidikan.

(Dari kiri) Al Izwan, Ain Nazura, Muhammad Nazirul dan Nik Jasmira akan membawa cabaran Kumpulan Malakat Eco dalam pertandingan Culinaire Malaysia 2022 di KLCC esok.

Kata Muhammad Nazirul, pertandingan yang diadakan secara tahunan itu merupakan pentas bagi para cef mempamerkan kemahiran mereka dalam bidang masakan.

“Pertandingan ini akan disertai oleh cef dari serata pelusuk Asia Tenggara.

“Ini merupakan medan yang amat sesuai bagi kami mempamerkan segala bentuk kemahiran yang pernah kami pelajari sebelum ini, dan diadili oleh para cef lain bertaraf dunia,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, kata Nik Jasmira pula, mereka berharap supaya dapat memberikan persembahan terbaik pada kali ini.

“Sepanjang berkhidmat dengan Kumpulan Malakat Eco, banyak pengalaman dan ilmu baharu yang kami pelajari.

“Kami berharap supaya segala bimbingan yang telah kami terima sebelum ini dapat digunakan sebaiknya pada waktu pertandingan nanti,” katanya lagi.

Kumpulan cef itu turut memohon supaya ahli Kumpulan Malakat Eco mengirimkan doa supaya mereka dapat memberikan yang terbaik dalam pertandingan itu nanti.

Pertandingan Culinaire Malaysia dianjurkan oleh Persatuan Hotel Malaysia (MHA) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mengumpulkan para cef yang meningkat naik di rantau Asia Tenggara bersaing dalam kategori masing-masing untuk merebut gelaran sebagai cef terbaik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here