
CYBERJAYA – Kes baharu Covid-19 terus menunjukkan trend penurunan apabila 23,100 kes direkodkan setakat semalam berbanding 24,361 kes sehari sebelum itu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes adalah 3,116,564 kes.
“Kes import 298 kes melibatkan 262 warganegara dan 36 bukan warganegara manakala kes tempatan adalah sebanyak 22,802 kes manakala 652 bukan warganegara.
“Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) ialah 361 kes yang mana 133 kes disahkan Covid-19; 228 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan. Kes memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 193 kes dengan 76 kes disahkan Covid-19; 117 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, daripada 23,100 kes harian yang dilaporkan semalam 186 kes (0.81 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5.
Beliau berkata, 22,914 kes (99.19 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.
Dalam pada itu, katanya, setakat semalam juga lapan negeri menunjukkan penggunaan fasiliti kesihatan melebihi kadar 50 peratus.
Katanya, Kelantan merekodkan kes penggunaan katil ICU tertinggi dengan kadar 70 peratus diikuti Putrajaya 67 peratus, Kuala Lumpur (65 peratus), Johor (63 peratus) , Melaka (61 peratus), Perak (58 peratus), Perlis (55 peratus), dan Sabah (53 peratus).
Beliau berkata, bagi katil bukan ICU pula Selangor merekodkan kes tertinggi dengan 106 peratus, Kuala Lumpur (91 peratus), Perak (91 peratus), Kelantan (87 peratus), Putrajaya (84 peratus), Perlis (78 peratus) , Pahang (69 peratus) dan Johor (68 peratus).