
LONDON – Kajian Universiti Oxford mendapati, jangkitan Covid-19 boleh menyebabkan pengecutan otak, mengurangkan sel kelabu di bahagian yang mengawal emosi dan ingatan, dan merosakkan bahagian yang mengawal deria bau.
Dapatan itu diterbitkan dalam jurnal perubatan Nature, semalam, kata Reuters.
Kumpulan saintis yang melakukan kajian itu berkata, kesan pengecutan itu turut ditemukan pada individu yang tidak dimasukkan ke hospital akibat jangkitan itu.
Secara puratanya, saiz otak peserta kajian tersebut didapati mengecut antara 0.2 hingga 2 peratus.
“Kami menemukan bukti kukuh bahawa Covid-19 mampu mempengaruhi keadaan otak,” kata wakil kumpulan tersebut.
Bagaimanapun, rumusan saintis tersebut turut menyebut bahawa kajian lanjut perlu dilaksanakan bagi mengetahui sama ada kesan tersebut akan berpanjangan dan boleh diubati.
Kajian yang dilaksanakan pada ketika varian Alpha masih dominan di United Kingdom (UK), melibatkan 785 individu berusia antara 51 hingga 81 tahun, dengan otak mereka diimbas sebanyak dua kali.
Imbasan kedua dilakukan pada purata 14 hari selepas imbasan pertama dilakukan.