Covid-19: KKM kesan 17,828 kes baharu, 63 kematian

0
10
Gambar hiasan. Petugas Kesihatan dan petugas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengusung jenazah semasa menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Gombak.

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 17,828 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga pagi ini menjadikan kumulatif kes negara kini berjumlah 4,010,952 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 17,421 kes melibatkan jangkitan tempatan dan 407 kes import.

“Kes tempatan melibatkan 95.9 peratus warganegara dan 4.1 peratus lagi bukan warganegara manakala kes import pula melibatkan 96.8 peratus warganegara dan 3.2 peratus bukan warganegara.

“Kes sembuh setakat semalam adalah 28,003 kes menjadikan kumulatif kes sembuh di negara ini sebanyak 3,712,668 kes,” katanya dalam kenyataan di media sosial hari ini.

Beliau berkata, dari segi pengkategorian, sebanyak 9,121 kes adalah kategori 1; 8,551 kes kategori 2; 55 kes kategori 3; 48 kes kategori 4 dan 53 kes kategori 5.

“Daripada 156 kes kategori 3,4 dan 5, sebanyak 33 kes dikesan berlaku pada pesakit yang tidak divaksin atau belum lengkap vaksin; 64 kes telah menerima dua dos vaksin tetapi belum menerima dos penggalak.

“Manakala 59 kes pula telah menerima dos penggalak, dan 91 kes mempunyai komorbid,” katanya.

Sementara itu sebanyak 358 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 199 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan menurun kepaa 199 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator sebanyak 22 peratus,” katanya.

Sementara itu katanya, nilai kebolehjangkitan (Rt) di seluruh negara berada pada 0.65 (Sabah) sehingga 1.03 (Sarawak)

Dalam pada itu, KKM melaporkan sebanyak 63 kematian baharu akibat Covid-19 melalui laman sesawang COVIDNOW.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 21 kes adalah kematian di luar hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negara ini disebabkan oleh virus berkenaan adalah sebanyak 34,463.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here