Covid-19 menurun kepada 13,336 kes

0
10
Dr. Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Jumlah kes baharu Covid-19 yang dikesan semalam sebanyak 13,336 menjadikan kumulatif kes negara ini setakat ini sebanyak 4,152,203 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu Covid-19 yang dicatatkan itu, sebanyak 13,225 kes atau 99.17 peratus dalam kategori satu dan dua.

“Sebanyak 6,885 kes atau 51.63 peratus adalah dalam kategori satu dan 6,340 kes (47.54 peratus) dalam kategori dua,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 111 kes atau 0.83 peratus daripada jumlah 13,336 kes positif Covid-19 yang dicatatkan semalam adalah dalam kategori tiga, empat dan lima.

Katanya, sebanyak 43 kes atau 0.32 peratus daripada kes baharu itu dalam kategori tiga, 32 kes (0.24 peratus) kategori empat dan 36 kes (0.27 peratus) kategori lima.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 25,552 kes sembuh Covid-19 dicatatkan pada Isnin iaitu hampir dua kali ganda berbanding jumlah kes positif baharu yang dicatatkan pada hari sama.

Katanya hanya dua negeri mencatatkan peratusan penggunaan katil kes kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) melebihi 50 peratus semalam iaitu Selangor (55 peratus) dan Johor (52 peratus).

Jelas beliau, empat negeri mencatatkan peratusan penggunaan katil bukan ICU melebihi 50 peratus iaitu Putrajaya (87 peratus), Selangor (68 peratus), Kuala Lumpur (53 peratus) dan Melaka (51 peratus).

Sementara itu, kadar kebolehjangkitan Covid-19 (Rt) yang dicatatkan di seluruh negara setakat semalam adalah 0.92.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here