Dasar DNB, SWN 5G teraju Aspirasi Digital Negara

0
37
5G

PENGUMUMAN Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) berhubung keputusan kerajaan untuk mengekalkan pelaksanaan rangkaian 5G secara Rangkaian Borong Tunggal (SWN), telah membuka ruang kepada syarikat-syarikat telekomunikasi memegang ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB).

Susulan pelbagai sesi libat urus bersama Ahli Parlimen kerajaan, Ahli Parlimen pembangkang, syarikat telekomunikasi dan orang ramai, kerajaan telah memutuskan bahawa model SWN akan diterajui oleh DNB.

Model tersebut berdasarkan model “pemulihan kos” dan “berpandukan penawaran”, bersekali dengan penyertaan ekuiti oleh syarikat telekomunikasi adalah penyelesaian terbaik untuk mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G.

Model SWN yang diterajui oleh DNB berdasarkan pemulihan kos dan berpandukan penawaran bersama penyertaan ekuiti oleh syarikat telekomunikasi merupakan penyelesaian terbaik untuk mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G dengan objektif untuk menggalakkan penggunaan 5G oleh rakyat.

Penyertaan syarikat telekomunikasi dalam DNB membolehkan mereka terlibat dalam pelaksanaan rangkaian 5G negara.

Pengekalan model SWN merupakan pendirian tegas kerajaan terhadap kesinambungan dasar di Malaysia.

Dasar ini juga melambangkan model perkongsian awam-swasta Malaysia yang kukuh serta ekosistem pembiayaan sektor swasta yang mantap di mana semuanya akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

Pelan pelaksanaan dengan mengoptimumkan kerja kontrak dan perkhidmatan bagi vendor tempatan dengan anggaran 61 peratus daripadanya dapat memanfaatkan kepentingan Bumiputera.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik sebagai berkata, menerusi Bajet 2022 yang dirangka dengan penekanan daripada rakyat untuk rakyat itu, usaha memperkasa pendigitalan sangat penting berdasarkan kepada pengalaman sepanjang pandemik Covid-19.

Ia sekaligus yang menyaksikan majoriti rakyat beralih kepada perkhidmatan secara dalam talian terutamanya golongan peniaga.

Beliau berkata, usaha tersebut akan dijayakan menerusi program Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang sehingga akhir bulan lepas berjaya memastikan 6.4 juta premis di negara ini diliputi rangkaian gentian optik dengan akses gigabit.

Ismail Sabri berkata, ia sekali gus menandakan pelan berkenaan berada dalam landasan untuk mencapai sasarannya sebanyak 7.5 juta premis menjelang akhir 2022.

“Kita mahu pastikan seluruh negara dapat liputan (Internet) dua tahun dari sekarang, tidak mahu lagi ada isu panjat pokok di Sabah dan Sarawak untuk dapatkan talian, kita tidak mahu ketinggalan daripada ekonomi terkini,” katanya baru-baru ini.

Malaysia mempunyai kapasiti dan keupayaan untuk mencapai 100 peratus keterangkuman digital terutamanya dalam kalangan komuniti yang mudah terjejas dalam usaha untuk merapatkan jurang digital, kata Perdana Menteri.

Jelas beliau, penggunaan teknologi yang cekap dan berkesan dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara dengan memanfaatkan projek perkongsian awam-swasta.

Tegasnya, ini sekali gus akan mengurangkan perbelanjaan kerajaan yang mampu menambah baik penyampaian kemudahan dan perkhidmatan awam selain menggalakkan inovasi dan ekonomi bidangan.

Ismail Sabri berkata, melalui strategi pembangunan untuk lima tahun akan datang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), tumpuan kepada mengukuhkan pembolehubah pertumbuhan akan terus diberi keutamaan, terutamanya dalam sektor teknologi dan inovasi.

Katanya, ekonomi digital dijangka menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2025.

Semua sektor ekonomi dijangka mendapat manfaat daripada 5G yang turut mencipta ekosistem baharu dalam menyampaikan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), transformasi digital, perkhidmatan awan, Internet Pelbagai Benda (IoT) data dan Kecerdasan Buatan (AI).

Oleh Dr Mohd Zulfafhli Khairuddin, Timbalan Pengarah, Pusat Pembangunan Mahasiswa, UNIKL

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Malakat Tribune

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here