
CYBERJAYA – Para pembayar cukai kini boleh memuat turun buku panduan Sepintas e-Buku Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai rujukan dan panduan.
LHDN dalam satu kenyataan hari ini berkata, e-buku itu boleh dimuat turun di sini dan juga menerusi aplikasi MyTax yang boleh didapati di Google Playstore dan iOS App Store.

“Buku digital setebal 104 muka surat itu mengandungi pelbagai maklumat berkaitan cukai langsung untuk rujukan dan panduan kepada orang ramai khususnya para pembayar cukai.
“Antara maklumat yang menarik dalam buku digital ini ialah e-Filing, Senarai Pelepasan Cukai Individu bagi Tahun Taksiran 2021, Bayaran Cukai Pendapatan, Tanggungjawab Majikan dan Pekerja, Cukai Korporat, Duti Setem, Cukai Pegangan, Cukai Keuntungan Harta Tanah, Ekonomi Digital dan lain-lain,” kata LHDN dalam kenyataan itu.
Terdahulu, LHDN telah mengumumkan bahawa pembayar cukai sudah boleh mengemukakan Borang Nyata Tahun Saraan 2021 dan Tahun Taksiran 2021 menerusi e-Filing mulai 1 Mac.
Sebarang maklumat lanjut mengenai percukaian dan maklum balas berkaitan LHDN boleh diajukan menerusi Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara); Live Chat; dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM