Elak majikan guna ejen haram, PAPSMA gesa kerajaan beri kuota khas ambil pekerja asing

0
42
Presiden PAPSMA, Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid (tengah) bersama Timbalan Presiden PAPSMA, Datuk Kris Foo Yin Choo (kanan) dan Setiasaha Agung PAPSMA, Dr. N. Sukumaran dalam sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) persatuan itu di Kuala Lumpur.

CYBERJAYA – Kerajaan digesa untuk memberikan kuota khas kepada agensi pekerjaaan swasta di bawah Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) untuk mengambil pekerja asing secara sah bagi mengelakkan majikan yang terdesak menggunakan pintu belakang untuk berbuat demikian.

Setiausaha Agung PAPSMA, Dr. N. Sukumaran berkata, pihaknya mempunyai 501 agensi berdaftar dalam kategori C di bawah Kementerian Sumber Manusia dan dengan pemberian kuota berkenaan dapat membantu golongan majikan menggaji pekerja asing tanpa kerenah birokrasi.

Beliau berkata, ini kerana sistem sedia ada iaitu FCWMS mempunyai banyak isu sehingga menyebabkan ramai majikan gagal dalam memenuhi keperluan yang disyaratkan dalam membuat permohonan itu.

Kata beliau, perkara itu diakui sendiri Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan bahawa terdapat majikan yang menghadapi kesukaran untuk memohon secara dalam talian menggunakan sistem itu.

“Jadi kita akan galakkan majikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) itu menggunakan kuota ini yang diperoleh agensi pekerjaan swasta sebagai fasilitator untuk membantu mereka merekrut pekerja asing.

“Langkah ini sebagai usaha membantu mereka dalam menyambung perniagaan mereka atau menghidupkan semula selepas ada yang terpaksa gulung tikar akibat pandemik Covid-19 selain mempunyai masalah tenaga kerja tidak mencukupi,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan PAPSMA, di ibu negara hari ini.

Sukumaran berkata, usaha memberikan kuota khas itu antara lain bagi mengelak mana-mana majikan yang terdesak untuk merekrut pekerja asing menggunakan khidmat ejen-ejen haram yang cuba mengaut keuntungan dengan cara salah.

Beliau berkata, kewujudan kira-kira 10,000 ejen haram ini boleh menjejaskan nama baik negara apabila timbul isu yang menyalahi undang-undang sekali gus membuka risiko aktiviti pemerdagangan manusia.

Lebih memburukkan, katanya, ejen-ejen haram ini menjual nama agensi pekerjaan swasta yang sah ini dan menyalahgunakan selain menawarkan kos-kos tertentu untuk menarik minat majikan.

“Kami berterima kasih kepada pihak menteri kerana memberi galakan kepada majikan untuk menggunakan khidmat agensi pekerjaan swasta kategori lesen C ini yang mempunyai wang jaminan berjumlah RM250,000 dengan kerajaan.

“Justeru, kami yang turut diiktiraf kedutaan asing negara sumber memberikan jaminan akan melaksanakan perkhidmatan ini secara telus, integriti dan beretika seterusnya melicinkan proses permohonan para majikan agar urusan pengambilan pekerja asing berjalan dengan baik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here