
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Institusi Hakam di bawah Mahkamah Syariah akan dimantapkan lagi sebagai langkah bagi membantu wanita yang perlu menghadapi proses perceraian yang panjang.
Perdana Menteri berkata, hakam merupakan satu kaedah untuk memudah dan mempercepatkan proses perceraian di kalangan pasangan Islam.
“Kaedah ini diperkenalkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah bagi mengatasi masalah kes-kes perbicaraan berkaitan perceraian yang mengambil masa sehingga memudaratkan pasangan yang ingin bercerai.
“Berhubung dengan perceraian juga, kerajaan melalui Jabatan Kehakiman Syariah turut memperkenalkan Akta Pembiayaan Kewangan yang mana pihak bank boleh membekukan akaun bank suami atas arahan mahkamah.
“Pihak bank juga dibenarkan membuat bayaran daripada akaun suami yang telah dibekukan tersebut kepada isteri sekiranya isteri ada membuat tuntutan yang melibatkan wang ringgit di mahkamah. Kaedah ini dikenali sebagai hiwalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Sambutan Hari Wanita di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, langkah itu merupakan salah satu inisiatif bagi memastikan wanita Malaysia terus diperkasa.
Perdana Menteri berkata, antara inisiatif lain yang akan diambil ialah dengan menubuhkan Majlis Wanita Negara (BDPS) dan mewujudkan Rang Undang-Undang Anti Gangguan Seksual (BDPS).
“Memahami kesedihan dan bebanan yang ditanggung oleh wanita yang kematian suami, ketua jabatan dan pengurusan tertinggi semua organisasi adalah digalakkan untuk membenarkan Wanita tersebut untuk bekerja dari rumah (BDR) dalam tempoh bersesuaian bagi membolehkan urusan keluarga serta peninggalan suami diselesaikan.
“Selain itu, sambutan Hari Wanita wajib dilaksanakan pada 8 Mac setiap tahun di semua peringkat sama ada persekutuan mahupun negeri bagi menghargai dan mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita,” ujarnya.