
CYBERJAYA – Gelaran Ketua Menteri Sarawak kini diganti kepada ‘Premier’ berkuat kuasa hari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Amar, Datuk Jaul Samion dalam satu kenyataan berkata, Pejabat Ketua Menteri turut diganti kepada ‘Pejabat Premier Sarawak’.
Sehubungan itu tambahnya, jawatan Timbalan Ketua Menteri pula dikenali sebagai ‘Timbalan Premier’, manakala jawatan Menteri Muda digelar ‘Timbalan Menteri’.
Penggantian gelaran itu berkuat kuasa hari ini selepas Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang mengandungi klausa untuk menukar gelaran jawatan Ketua Menteri kepada ‘Premier’ diluluskan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 15 Februari lalu.
Dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, rang undang-undang itu diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga selepas 67 ahli dewan menyokongnya, manakala enam menentang.
Semasa menjelaskan penggunaan gelaran ‘Premier’ bagi menggantikan Ketua Menteri mengikut Perkara 6(3) Perlembagaan Sarawak, Karim berkata, ia sama seperti yang diamalkan oleh negara Komanwel lain.