Had kapasiti pekerja, keramaian dan majlis sosial dimansuhkan mulai 1 April

0
67

CYBERJAYA – Had kapasiti pekerja yang sebelum ini bergantung kepada liputan vaksinasi dimansuhkan mulai 1 April nanti.

Kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, perkara yang sama juga diguna pakai untuk aktiviti keramaian dan sosial termasuk kenduri kahwin.

“Berhubung keperluan vaksinasi, had kapasiti pekerja yang sebelum ini bergantung kepada liputan vaksinasi dimansuhkan. Semua individu dibenarkan merentas negeri tanpa mengira status vaksinasi mereka.

“Jadi tidak timbul ada dos penggalak atau tiada, begitu juga dengan pekerja yang sebelum ini dihadkan kepada jumlah. Sekarang tiada had dan tidak lagi perlu bergantung kepada vaksin,” katanya, hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri memaklumkan, had kapasiti 50 peratus yang ditetapkan untuk aktiviti yang melibatkan perkumpulan ramai juga dimansuhkan.

“Dengan peralihan ke fasa endemik ini, had tersebut dimansuhkan secara menyeluruh, bermakna tiada lagi had 50 peratus tetapi penjarakan fizikal perlu dijaga.

“Kalau majlis kenduri, sebelum ini di ballroom kita hadkan (kapasiti) kepada 50 peratus, sekarang kita mansuhkan had tersebut. Tetapi perlu ada penjarakan fizikal yang munasabah dalam dewan tersebut,” jelasnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here