
CYBERJAYA – Kerajaan menetapkan untuk menguatkuasakan hanya satu prosedur operasi standard (SOP) dan sembilan garis panduan untuk fasa peralihan ke endemik berbanding 181 SOP di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menurut Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, biarpun hanya satu SOP, ia masih akan dikuatkuasakan di bawah Akta 342 bermula 1 April ini.
“Satu SOP tersebut mengandungi 10 keperluan iaitu memakai pelitup muka ketika di tempat awam, waktu operasi mengikut lesen/permit, menjaga kebersihan tangan, melakukan ujian pengesanan Covid-19 berdasarkan National Testing Strategy dan menguruskan kes yang disyaki atau disahkan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Selain itu, orang ramai masih perlu menggunakan MySejahtera dan MySJTrace untuk pendaftaran kemasukan, memastikan penjarakan fizikal satu meter, memastikan pengudaraan dan sistem ventilasi yang baik, memastikan kebersihan premis dan mematuhi keperluan vaksinasi untuk aktiviti tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membuat pengumuman penting dan besar iaitu negara akan memasuki Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ berkuatkuasa 1 April ini dan ia sekali gus bakal menjadi permulaan baharu buat negara.
Dalam pada itu Hishammuddin berkata, selain SOP itu, terdapat sembilan garis panduan yang telah ditetapkan yang bertujuan mengutamakan disiplin kendiri.
Bagaimanapun, katanya, kesemua garis panduan itu tidak akan dikuatkuasakan sebaliknya, ia menjadi panduan yang amat digalakkan untuk dipatuhi supaya rakyat dapat kekal berwaspada dengan risiko jangkitan Covid-19 apabila melakukan aktiviti-aktiviti tertentu.
“Garis panduan ini merangkumi pengangkutan dan perjalanan, pendidikan dan penjagaan, aktiviti peruncitan, makanan dan minuman, ruang kerja tertutup, kawasan kerja terbuka, acara, majlis, hiburan, kawasan kerja terbuka dan tarikan pelancong, hotel dan penginapan tetamu, keagamaan, perkahwinan dan pengebumian serta aktiviti dan fasiliti sukan, rekreasi dan riadah.
“Untuk setiap garis panduan berkenaan, terdapat dua perincian iaitu cara penilaian risiko penularan Covid-19 serta gejala Covid-19 dan cara mengamalkan SOP dengan betul.
“Bagi memudahkan lagi masyarakat memahami dengan lebih lanjut satu SOP, sembilan garis panduan serta Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ secara keseluruhannya, satu laman sesawang dengan kerjasama rapat Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang dibangunkan dan telah pun dalam peringkat akhir.
“Ia dijangka dapat diakses dua minggu sebelum 1 April sekaligus boleh membantu masyarakat membuat persiapan sebelum fasa tersebut bermula. Saya akan maklum kepada umum apabila laman sesawang berkenaan telah boleh diakses,” ujarnya.