Hasil kutipan cukai negara dijangka meningkat tahun ini

0
20
Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyempurnakan gimik pelar mbutan Hari Hasil ke-26 dengan diiringi oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa (kiri) serta Datuk Mohd Nizom Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN.

CYBERJAYA – Kerajaan menjangkakan kutipan hasil cukai pada tahun ini akan meningkat susulan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh dan mampan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keyakinan itu berdasarkan jumlah kutipan hasil cukai yang meningkat sebanyak 17 peratus kepada lebih RM140 bilion pada 2021 berbanding 2020.

Beliau berkata, prestasi cemerlang itu adalah kejayaan yang amat membanggakan kerana hasil kutipan cukai berkenaan menyumbang  hampir separuh daripada jumlah pendapatan negara. 

“Dengan sinar pemulihan yang lebih jelas tahun ini, kerajaan menjangkakan kutipan hasil akan kembali kepada paras sebelum pandemik Covid-19.

“Saya percaya dan yakin bahawa Keluarga Hasil akan berjaya mengulangi pencapaian 2021, dan akan memenuhi atau melebihi  sasaran kutipan cukai berjumlah RM139 bilion bagi tahun ini,” katanya dalam Majlis Sambutan Hari Hasil 2022 di sini, hari ini.

Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ismail Sabri berkata, bagi menyokong hasrat itu, LHDN melalui pengurusannya, perlu merangka pelbagai strategi jangka pendek dan sederhana untuk mencapai sasaran kutipan yang ditetapkan, dan dalam masa yang sama mengekalkan prestasi yang baik pada masa hadapan.

Beliau berkata, ia termasuk mengenal pasti sektor ekonomi baharu dan melaksanakan undang-undang percukaian dengan telus, berkesan dan cekap. 

 Ismail Sabri berkata, bagi tahun ini, kerajaan mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan berkembang sebanyak 5.5 hingga 6.5 peratus, sejajar dengan unjuran oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) (5.7 peratus) dan Bank Dunia (5.8 peratus).

Beliau berkata, pertumbuhan itu dijangka didorong oleh Bajet 2022 yang mengembang, serta pemulihan aktiviti ekonomi dan sosial; penyambungan semula projek dengan kesan pengganda yang tinggi serta permintaan luar yang kukuh akan terus memacu  pertumbuhan.

Selain itu, beliau yakin bahawa pertumbuhan itu akan turut disumbang oleh kerjasama berterusan antara Kementerian Kewangan dan LHDN, terutamanya berkenaan inisiatif Bajet 2022, termasuklah pelaksanaan Cukai Makmur yang akan dikenakan secara ‘one-off’ kepada syarikat yang meraih keuntungan luar biasa sepanjang tempoh pandemik. 

Katanya, kerajaan juga akan melaksanakan Tax Identification Number atau TIN dan Sijil Pematuhan Cukai (TCC) untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan pengumpulan hasil negara.

“Pada masa yang sama, mulai 2023, semua peniaga yang ingin mendapatkan projek dengan kerajaan dikehendaki mempunyai Sijil Pematuhan Cukai sebagai salah satu syarat utama,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here