‘Hela nafas panjang saya’ – komen Menteri Agama drama tempatan sajikan babak panas

0
85
Tangkap layar babak panas yang dikongsi oleh pelakon Zul Ariffin dalam laman Instagram miliknya semalam

CYBERJAYA – Datuk Idris Ahmad memandang serius isu sebuah drama yang menyajikan babak panas yang disifatkan sebagai melampau batas dan tidak sepatutnya berlaku ketika umat Islam sedang menantikan kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, walaupun hiburan tidak dihalang dalam Islam, tatacara hiburan perlu dipatuhi.

“Hela nafas panjang saya. Apabila sebuah drama yang telah ditular untuk ditayangkan dalam bulan yang sepatutnya ditunggu oleh seluruh manusia yang beriman bagi mengejar taqwa, namun seolah dicemari dengan kegusaran yang saya kira melampui batas yang perlu ditegur.

“Hiburan tidak dihalang dalam Islam. Namun, tatacara hiburan dalam Islam pastinya terdapat disiplin yang tegas, apatah lagi melibatkan ikhtilat yang berlebihan dengan adegan yang ternyata mengundang maksiat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, warga maya dikejutkan dengan perkongsian video babak panas sebuah drama di Instagram milik  aktor terkenal Zul Ariffin

Video yang mencetuskan kemarahan ramai itu memaparkan beberapa babak aksi mengghairahkan lakonan Zul Ariffin bersama pelakon baharu, Siti Hariesa.

Dalam pada itu, Idris berkata, beliau tidak berhasrat menghalang industri hiburan daripada terus beroperasi namun berharap ia tidak mencemarkan fitrah dalam agama.

“Saya tidak boleh membiarkan ianya berlaku tanpa dinasihati. Saya akan menghubungi pihak yang terbabit untuk mendapatkan nasihat supaya perkara ini boleh ditegah dan diubah dengan hikmah.

“Dalam masa yang sama, saya menyeru kepada seluruh umat Islam, tidak kira usia dan kedudukan, untuk bersiap menghadapi Ramadhan yang menjanjikan sejuta hikmah oleh Allah SWT.

“Persiapkan diri, pasangan, keluarga dan masyarakat sekeliling kita agar memeriahkan Ramadan dengan penuh pengharapan dan keinsafan. Jauhi perkara mendekatkan kita dengan maksiat, agar Ramadan kita tidak tercalar dan cacat cela,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here