Identiti mangsa insiden tanah runtuh Ampang dikenal pasti

0
74
Keadaan di lokasi kejadian tanah runtuh yang mengorbankan 4 individu semalam di Taman Bukit Permai 2, Ampang.

CYBERJAYA – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan identiti empat mangsa yang terbunuh dan seorang yang cedera dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang di Kuala Lumpur, semalam.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai A. Mahendra, 36; E. Ramasamy, 58; Mohd Saifullah Ridzuan Ishak, 34; dan Chong Siew Kim, 85; manakala yang tercedera dalam kejadian itu ialah Cheng Kim Cheng, 85.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak berkata, semua mayat telah dihantar ke Hospital Ampang dan ahli keluarga telah melakukan pengecaman.

“Mangsa yang cedera kini dirawat di Hospital Ampang,” katanya dalam satu sidang akhbar, hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, beliau dimaklumkan masih terdapat kesan rekahan dan pergerakan tanah di kawasan berkenaan dan sehubungan itu polis menasihatkan penduduk setempat akur untuk mengosongkan rumah bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

“Kami akan melakukan pemantauan 24 jam, disertai oleh 30 anggota polis. Penduduk juga boleh membuat aduan di pondok yang disediakan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, seramai 123 anggota bomba dari Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) menyertai operasi mencari dan menyelamat bermula 5.54 petang semalam hingga 3 pagi tadi.

Jelasnya, tiga daripada empat mangsa ditemukan tertimbus tanah sedalam satu hingga 1.5 meter dan pihaknya menggunakan mesin pengorek untuk mengeluarkan mangsa.

“Pemeriksaan kami mendapati, tiga daripada lima mangsa cuba menyelamatkan diri tetapi tidak sempat kerana pergerakan tanah dan tertimbus. Terdapat sebuah rumah yang rosak 100 peratus dan beberapa rumah yang berhampiran turut terjejas,” katanya.

Tambahnya, beberapa anggota akan ditempatkan di lokasi kejadian bagi memantau keadaan sekiranya berlakunya kejadian tanah runtuh yang berulang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here