Indonesia tarik balik sekatan ke atas solat terawih, aktiviti ‘mudik’

0
12
GAMBAR HIASAN

JAKARTA – Sempena kedatangan bulan Ramadan, Indonesia hari ini mengumumkan penarikan balik beberapa sekatan yang dikenakan berikutan penularan Covid-19 .

Laporan Bernama menyebut, sempena Ramadan, masjid dibenarkan mengadakan solat terawih secara berjemaah dan juga kebenaran pulang ke kampung halaman.

Presiden Indonesia, Joko Widodo ketika mengumumkan penarikan balik sekatan itu berkata, individu yang lengkap divaksin dan sudah menerima dos penggalak dibenarkan untuk ‘mudik’, iaitu pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Mudik merupakan aktiviti tahunan rakyat Indonesia yang menyaksikan jutaan rakyatnya meninggalkan ibu kota Jakarta untuk beraya di kampung halaman masing-masing.

Bagaimanapun, Joko Widodo melarang pegawai dan penjawat awam daripada mengadakan majlis berbuka puasa dan rumah terbuka Hari Raya.

Meskipun sekatan dilonggarkan, presiden mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi protokol kesihatan.

Pelonggaran sekatan untuk penduduk tempatan dibuat selepas Indonesia pada Selasa mengumumkan pelancong antarabangsa akan dibenarkan memasuki negara itu tanpa perlu dikuarantin, namun masih perlu menunjukkan ujian negatif Covid-19 semasa ketibaan.

Ketika ini, negara itu menunjukkan trend penurunan kes Covid-19 yang disahkan, dan terbaharu, mencatatkan 6,376 kes baharu pada semalam, turun daripada 7,464 kes pada hari sebelumnya, menjadikan jumlah kes yang disahkan kepada 5,974,646.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here