
CYBERJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama beberapa Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Kementerian Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang menyiasat dakwaan yang sedang tular di media sosial bahawa makanan sejuk beku sotong ring diperbuat daripada dubur atau usus babi.
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Hakimah Mohd Yusoff berkata, pihaknya mengambil maklum berkenaan isu itu dan akan menjalankan siasatan.
“Jakim mengambil maklum berhubung isu viral sotong ring yang didakwa dengan beberapa versi sebagai dubur atau usus babi yang didakwa dijual di pasaran Malaysia.

“Untuk makluman umum, perkara ini sedang dalam siasatan Jakim dan beberapa JAIN bersama KPDNHEP.
“Jakim memohon semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan sehingga hasil siasatan dimaklumkan secara rasmi oleh pihak berkuasa berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beberapa hari lalu, tular di Facebook mengenai dakwaan sotong ring yang dijual di pasaran diperbuat daripada usus babi dan dicampurkan perisa sotong.
Melalui hantaran di Facebook, netizen turut meninggalkan komen meragui cop tanda halal yang dicetak di label pembungkusan.
Terdapat netizen mempertikai kerana ia lebih liat dan tidak seperti sotong biasa.