Jemaah di masjid, surau di Wilayah Persekutuan dibenar rapatkan saf bermula 1 April ini

0
20
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama-sama jemaah di Masjid Putra, Putrajaya, menunaikan solat hajat, berzikir dan berselawat sempena Solat Hajat dan Malaysia Berzikir Ambang 2022 malam ini. Gambar fail

KUALA LUMPUR – Solat berjemaah di semua masjid dan surau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dibenar ditunaikan tanpa penjarakan fizikal berkuat kuasa 1 April ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, ketetapan baharu itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan selaras dengan pengumuman kerajaan berkaitan Fasa Peralihan Ke Endemik.

Mohd Ajib jemaah berkata, jemaah digalakkan membawa sejadah sendiri dan kehadiran ke masjid dan surau dibenarkan tanpa had umur kepada yang telah menerima vaksinasi Covid-19.

Selain kebenaran solat tanpa penjarakan, JAWI turut mengumumkan beberapa ketetapan baharu berhubung aktiviti pengimarahan di masjid dan surau pada bulan Ramadan.

“Masjid dan surau dibenarkan untuk melaksanakan solat sunat tarawih 20 rakaat pada bulan Ramadan manakala qiamullail dibenarkan untuk diadakan di masjid dan surau mulai tengah malam.

“Majlis berbuka puasa, moreh dan sahur dibenarkan untuk diadakan di masjid dan surau dan makanan digalakkan untuk disediakan secara berbungkus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Ajib berkata, turut dibenarkan aktiviti tadarus al-Quran di masjid dan surau serta boleh dilaksanakan pada mana-mana waktu yang bersesuaian dalam bentuk kumpulan kecil.

Katanya, semua kebenaran tersebut adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Semoga lebih ramai jemaah dapat mengimarahkan masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan terus bermunajat dan berdoa agar penularan wabak Covid-19 segera dibendung serta negara Malaysia sentiasa mendapat perlindungan dan kesejahteraan daripada Allah SWT,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here