
CYBERJAYA – Keputusan kerajaan untuk membenarkan solat jemaah di masjid dan surau dilaksanakan tanpa penjarakan sosial dibuat berasaskan fakta dan data.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, ia dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor termasuk penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan pandangan yang dikemukakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Ia adalah berita gembira buat umat Islam untuk menyambut bulan Ramadan nanti.
“Walaubagaimanapun, pelaksanaan perkara ini dan SOP akhir untuk masjid dan surau tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri-negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Idris berkata, dengan keputusan itu diharapkan institusi masjid dan surau terus dimakmurkan dengan aktiviti ibadah, majlis dan halaqah ilmu serta lain-lain program pembinaan modal insan dan kemasyarakatan.
Katanya, ia amat penting untuk memperkukuh jati diri serta penghayatan beragama.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menyeru kepada umat Islam untuk terus berdoa serta bermunajat agar rakyat dan negara terus dipelihara daripada sebarang kemudaratan dan bencana.
“Adalah dicadangkan kepada masjid dan surau untuk terus mengadakan Solat Hajat bagi memohon kesejahteraan dan keselamatan buat rakyat dan negara,” katanya.