
CYBERJAYA – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah satu lembaran baharu untuk parti itu terus berbakti kepada rakyat yang memilih.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dengan penuh kesyukuran beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas kemenangan membentuk kerajaan yang akan ditubuhkan pada bila-bila masa dari sekarang.
Beliau yang juga Pengarah PRN Johor mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid, rakan-rakan seperjuangan dalam parti dan seluruh kepimpinan di semua peringkat.
“Secara tidak rasmi BN berjaya memenangi 40 kerusi daripada 56, kepada jentera, kita ucapkan terima kasih kerana bersama-sama membantu BN merampas semula negeri Johor pada PRN ini.
“Lepas ini pastikan rakyat negeri Johor akan dapat hidup dalam aman dan sejahtera untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanyadalam ucapan di Pejabat Badan Perhubungan UMNO negeri Johor malam ini.

Sementara itu, Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, kemenangan itu membuktikan rakyat Johor telah memilih demokrasi dan kestabilan masa depan dengan memilih BN.
Kejayaan itu juga katanya adalah tanda rakyat Johor sudah penat hidup dalam ketidakstabilan justeru mereka mahu negeri itu diterajui pemimpin yang komited demi kemakmuran.
“Ssungguhnya kemenangan BN di Johor andalah kemenangan anda semua,. hanya Allah dapat membalas titik peluh anda,
“Melalui mandat ini kerajaan negeri akan terus membangun ekonomi, membela yang lemah dan membudayakan naratif budaya politik yang lebih harmoni,” katanya.
Sehubungan itu beliau menyeru seluruh rakyat Johor sama ada yang mengundi BN atau pun tidak untuk sama-sama memajukan negeri itu.
“Tiada ideologi politik yang lebih utama dari Johor Darul Takzim. Ini adalah masa untuk membina Johor yang lebih harmoni,” katanya.