Keperluan daftar masuk premis gunakan MySejahtera mungkin dimansuhkan

0
56

CYBERJAYA – Penggunaan aplikasi MySejahtera sebagai aplikasi daftar masuk ke premis berkemungkinan dimansuhkan.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar, keputusan sama ada meneruskan atau memansuhkan prosedur operasi standard (SOP) daftar masuk menggunakan aplikasi itu akan ditentukan berdasarkan trend jangkitan Covid-19 serta data mobiliti penduduk dan pengembara, apabila sempadan negara dibuka semula 1 April ini.

“Penentuan berhubung perkara ini akan ambil masa hampir sebulan, kerana kita kena lihat pada trend ini.

“Sekiranya trend jangkitan tidak banyak perubahan dengan trend ketika ini, maka kita boleh ‘drop’ fungsi daftar masuk,” katanya selepas melancarkan majlis penutup Program Pengurusan Berat Badan Bersepadu Kebangsaan dan ‘World Physical Activity Day’ 2022 di Kuala Lumpur, hari ini.

Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), bahawa sudah tiba masanya amalan mengimbas MySejahtera setiap kali memasuki premis dihentikan, ketika negara sedang memasuki fasa peralihan ke endemik mulai 1 April.

Kerajaan sebelum ini sudah memansuhkan SOP berkaitan pemeriksaan suhu badan dan buku rekod daftar masuk premis, pada 11 Februari lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here