Kerajaan bakal pinda Akta DBP untuk tindakan kesalahan bahasa

0
27
Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Kerajaan akan meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 (DBP) dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pindaan tersebut perlu untuk memberi kuasa kepada agensi kerajaan menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan melibatkan penggunaan bahasa.

“Pindaan ini akan membolehkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil tindakan terhadap mana-mana pelanggaran bahasa Melayu di semua peringkat sama ada daerah, negeri atau Persekutuan,” katanya semasa sesi pemberitahuan pertanyaan lisan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Isa Ab. Hamid yang bertanya kepada Perdana Menteri mengenai usaha kerajaan memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu dalam urusan diplomatik luar negara.

Selain itu kata Ismail Sabri, kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi juga bersetuju mewajibkan pelajar asing di universiti negara ini mempelajari bahasa Melayu.

Sementara itu, kerajaan juga komited dalam penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sebarang urusan rasmi kerajaan dengan negara luar untuk menjadikannya medium komunikasi bertaraf antarabangsa.

Katanya, usaha itu selari dengan bidang keutamaan Kerangka Dasar Luar Malaysia yang telah dilancarkan kerajaan pada 7 Disember 2021.

Justeru beliau menyeru rakyat negara ini supaya tidak malu atau kekok untuk menggunakan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Ismail Sabri berkata, sebagai langkah awal dalam usaha itu, beliau sendiri menggunakan bahasa kebangsaan semasa lawatan rasmi ke Indonesia, Brunei, Kemboja, Thailand dan Vietnam baru-baru ini.

“Usaha ini akan diteruskan dalam mana-mana pertemuan atau mesyuarat dan persidangan antarabangsa, sama ada dua hala atau pelbagai hala di dalam mahupun di luar negara mengikut kesesuaian,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here