Kerajaan bersetuju lulus MRT 3 di Lembah Klang

0
36
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kabinet hari ini bersetuju meluluskan projek Transit Aliran Massa (MRT) 3 yang akan melengkapkan sistem pengangkutan awam bersepadu di Lembah Klang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua lagi projek yang dipersetujui adalah penambahbaikan Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) dan projek tebatan banjir.

“Kerajaan mengambil keputusan untuk meluluskan pelaksanaan projek MRT 3 yang akan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang dengan menyediakan perkhidmatan bersepadu, mampu bayar dan lancar untuk Keluarga Malaysia.

“Ini diharap akan memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi, khususnya objektif kerajaan untuk terus memperkasa sektor perniagaan serta mencipta 600,000 pekerjaan, tahun ini,”katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan ketika ini menyediakan peruntukan pembangunan bernilai RM1 bilion setahun bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) bagi projek tebatan banjir.

Selain itu, katanya, Kabinet memutuskan untuk meningkatkan dan menyegerakan projek tebatan banjir dengan tambahan perbelanjaan sebanyak RM15 bilion bagi tempoh 2023 sehingga 2030, selepas mengambil kira fenomena banjir Monsun Timur Laut 2021/2022 yang serius sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

Mengenai projek LPB, Ismail Sabri berkata, Fasa Pertama LPB Sabah sedang giat dilaksanakan, membabitkan sebanyak 15 pakej dengan kemajuan kerja ketika ini sudah mencapai 52 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober 2024.

“Bagi menambah baik lingkaran jalan untuk Keluarga Malaysia di Sabah, kerajaan bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan 19 pakej kerja tambahan yang akan meMBABITKAN jajaran sepanjang 367 kilometer (km) dengan tempoh pembinaan selama lima tahun.

“Fasa Pertama LPB Sarawak pula akan membabitkan jajaran 786km dan telah mencapai 78 peratus kemajuan kerja setakat ini.

“Bagi melengkapi LPB Sarawak, kerajaan turut bersetuju untuk melaksanakan projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here