Kerajaan fail permohonan batalkan Final Award yang diberikan kepada waris Sulu

0
53
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Kerajaan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan Final Award yang dikeluarkan oleh penimbang tara Dr. Gonzalo Stampa pada 3 Mac lalu di Mahkamah di Paris, Perancis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob brkata, ini bagi memastikan keputusan Final Award tersebut tidak boleh dikuatkuasakan oleh penuntut pada bila-bila masa dan di mana-mana negara dan supaya Malaysia tidak perlu membayar wang pampasan sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) seperti yang dituntut.

“Dalam hal ini, kerajaan Malaysia tetap komited untuk menyelesaikan isu ini secara tuntas dan muktamad. Adalah ditekankan bahawa kerajaan Malaysia tidak akan berganjak walau seinci pun dalam menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara.

“Dan kedudukan negeri Sabah dalam Malaysia akan dipertahankan untuk selama-lamanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menegaskan bahawa Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia sejak 16 September 1963.

Oleh itu, katanya, kerajaan tidak akan melayan sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak berkenaan Sabah.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia memandang serius isu kedaulatan negara, termasuk kedaulatan dan keutuhan Sabah dalam Malaysia.

Sementara itu, menyentuh mengenai tuntutan oleh pihak yang mengaku sebagai waris kepada Sultan Sulu terhadap Kerajaan Malaysia melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa, katanya, ia adalah tidak sah dan melanggari undangundang.

“Ini adalah kerana pelantikan penimbang tara Dr. Gonzalo telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Madrid pada 29 Jun 2021 yang mengakibatkan semua keputusan yang dikeluarkan oleh Dr. Gonzalo adalah tidak sah, termasuk Final Award yang dikeluarkan pada 28 Februari 2022.

“Walaupun pelantikan Dr. Stampa telah dibatalkan tetapi Dr. Stampa tidak mengendahkan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid dengan memindahkan tempat timbang tara ke Paris, Perancis dan telah meneruskan prosiding timbang tara tersebut sehinggalah beliau mengeluarkan Final Award tersebut,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here