Kerajaan jenamakan Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC/GLIC kepada GDRN

0
7
Ismail Sabri ketika menghadiri Hari Terbuka GLC di Kuala Lumpur, hari ini.

CYBERJAYA – Kerajaan hari ini menjenamakan semula Rangkaian Tindak Balas Bencana syarikat berkaitan kerajaan (GLC)/syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) kepada GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penjenamaan semula itu turut melibatkan peluasan skop daripada Jalinan Kemanusiaan sedia ada kepada Jalinan Ilmu dan Jalinan Sejahtera.

Berikutan itu, GDRN akan menerajui usaha Tanggungjawab Sosial Korporat secara lebih selaras dan teratur bagi mengoptimumkan sumber terkumpul GLC dan GLIC, sekali gus memanfaatkan lebih ramai kumpulan B40 dan golongan tumpuan tertentu.

“Kerajaan sedar perlunya potensi rangkaian GDRN ini ditambah baik supaya ia bersifat responsif dan lebih proaktif dalam membina keupayaan dan daya tahan Keluarga Malaysia,” kata Perdana Menteri dalam ucapan beliau semasa Pelancaran Hari Terbuka GLC 2022 di Kuala Lumpur, hari ini.

Di bawah skop baharu rangkaian tersebut, Jalinan Ilmu merangkumi biasiswa, peluang dan akses pendidikan serta pembangunan kemahiran insan manakala Jalinan Sejahtera mengutamakan pembinaan kehidupan dari segi menjana pendapatan, membina kemahiran vokasional dan ilmu pengurusan kewangan, serta memastikan kesejahteraan kesihatan dan alam sekitar.

“Pada tahun 2013, beberapa GLC dan GLIC telah bergabung usaha untuk menubuhkan Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC/GLIC bertujuan menyelaraskan pemberian bantuan sosial dan pembinaan semula selepas bencana alam atau malapetaka.

“Antara tahun 2013 dan 2016, rangkaian ini telah menyumbang kepada operasi pemulihan dan pembinaan semula, terutamanya untuk mangsa banjir di Kelantan, Pahang dan Johor,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh dua tahun lepas sejak 2020, rangkaian itu juga telah membantu lebih daripada 450,000 orang yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan banjir dengan pelbagai jenis bantuan bernilai RM 327 juta, termasuk geran padanan kerajaan melebihi RM55 juta.

Pewujudan GLC dan sumbangannya kepada ekonomi negara serta masyarakat adalah ibarat seperti ‘benih cengal’ yang dijadikan logo Hari Terbuka GLC dan simbol keutuhan ekosistem GLC dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia.

“Mendukung aspirasi ini, Hari Terbuka GLC 2022 diadakan bertujuan mendekatkan Keluarga Malaysia dengan GLC dan GLIC, terutamanya dalam membina semula kehidupan pasca pandemik Covid-19,” katanya.

Ismail Sabri berkata hari terbuka yang bertemakan ‘Aspirasi Masyarakat, Inspirasi Negara’ itu menekankan usaha berterusan GLC dan GLIC dalam membina semula kehidupan Keluarga Malaysia pasca-pandemik dan mempamerkan konsep GLC dekat dengan rakyat selaras dengan Aspirasi Keluarga Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here