Kerajaan lantik peguam lawan tuntutan pihak dakwa waris Sultan Sulu

0
18
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil serius berhubung tuntutan dibuat terhadap Malaysia oleh pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu dengan melantik peguam di Sepanyol dan Perancis bagi menangani isu berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Malaysia tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara berhubung tuntutan itu, lapor BH Online.

Katanya, ini kerana Malaysia sentiasa menegakkan dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat, tambahan pula identiti pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu itu diragui serta belum disahkan.

Beliau menegaskan, Malaysia sentiasa peka dan bersedia untuk mencabar sebarang tindakan penguatkuasaan keputusan Mahkamah Arbitrasi Paris, Perancis, yang dikemukakan pihak berkenaan.

“Tindakan itu dilaksanakan mengikut Konvensyen New York jika penuntut pada bila-bila masa dan di mana jua mahu melaksanakannya.

“Langkah itu bagi memastikan kepentingan kerajaan sentiasa terpelihara,” katanya menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Hassan (WARISAN-Papar) berhubung arahan pembayaran pampasan berjumlah RM62.59 bilion (AS$14.92 bilion) kepada waris Sultan Sulu yang diputuskan oleh Mahkamah Arbitrasi Paris, dan sama ada Kerajaan Malaysia melalui Pejabat Peguam Negara sudah menghantar wakil atau melantik peguam di Perancis bagi tujuan bantahan.

Wan Junaidi menegaskan, kerajaan tidak berdiam diri dan sudah mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan kedaulatan negara tidak dicabuli melalui tindakan perundangan di Madrid, Sepanyol, dan Paris.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here