Kerajaan sedia taja yuran untuk PMKS sertai Ekspo 2020 Dubai – PM

0
9
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

DUBAI – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersedia untuk menaja kos yuran penyertaan kepada lebih 400 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menyertai Ekspo 2020 Dubai.

Perdana Menteri berkata, langkah itu adalah bagi mengetengahkan dan memberi peluang kepada lebih 400 PMKS di peringkat antarabangsa.

“Ini adalah peluang bagi mereka mengembangkan perniagaan dan meneroka peluang-peluang baharu di luar negara.

“Untuk makluman, kerajaan menanggung kos yuran penyertaan semua PMKS ini di Ekspo 2020 Dubai, mereka hanya perlu membayar kos penginapan dan tiket kapal tebang sahaja.

“Ini membuktikan komitmen kerajaan untuk membantu, menyokong dan memperkasa PMKS. Saya mahu lebih banyak PMKS dapat melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa yang mana boleh membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, seterusnya meningkatkan taraf hidup Keluarga Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam Majlis Apresiasi Ekspo 2020 Dubai.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa Malaysia telah melebihi sasaran potensi nilai perdagangan, pelaburan dan business leads berjumlah RM70 bilion secara keseluruhan bagi 26 program mingguan di Ekspo 2020 Dubai

Katanya, nilai itu telah diperolehi melalui 131 Memorandum Persefahaman atau Perjanjian Perkongsian, dan pertanyaan perniagaan melibatkan sejumlah 4,558 mesyuarat, termasuk potensi padanan perniagaan.

“Sukacita juga saya umumkan satu lagi pencapaian membanggakan Pavilion Malaysia sejak bermulanya penganjuran Ekspo 2020 Dubai sehingga semalam bersamaan 29 Mac 2021, Pavilion Malaysia telah menerima 1.1 juta pengunjung,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here