Kerajan digesa wajibkan insurans Covid-19 kepada pelancong asing

0
49
Gambar fail: Pelancong asing di Masjid Putra, Putrajaya

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk menguatkuasakan langkah mewajibkan setiap pelancong asing yang masuk ke negara ini selepas pintu sempadan negara dibuka perlu mempunyai insurans Covid-19.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, langkah itu penting sebagai salah satu keperluan yang seiring dengan dengan peralihan negara ke fasa endemik pada 1 April nanti.

“Selain daripada 10 prosedur operasi standard (SOP) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri seiring dengan peralihan ke fasa endemik pada 1 April nanti, saya ingin mencadangkan supaya keperluan mempunyai insuran Covid-19 sebagai salah satu langkah yang wajar bagi pelancong-pelancong asing.

“Selain itu, saya ingin mencadangkan agar pembelian insuran pelancongan Covid-19 ini perlulah dibeli dengan menggunakan khidmat syarikat insuran tempatan,” katanya ketika berucap di Dewan Negara hari ini.

Penguatkuasaan mewajibkan pelancong asing mendapatkan perlindungan diri bukan perkara baharu apabila Arab Saudi telah melaksanakan langkah itu pada tahun lalu.

Insurans itu memberikan perlindungan selama 30 hari bermula dari tarikh pelepasan dan pihak syarikat akan menanggung sebarang kos serta penjagaan kesihatan yang diperlukan sekiranya dijangkiti Covid-19.

Dalam pada itu, Mohd Hisamudin juga menggesa kerajaan untuk memikirkan bentuk insentif yang boleh diberikan kepada pemain industri pelancongan sebagai ‘lonjakan modal’ untuk mereka mengaktifkan semula perniagaan mereka.

Beliau berkata, antaranya dengan menambah peruntukan bagi Geran Padanan Pelancongan, Seni & Budaya (GPPSB), di samping menimbangkan pendekatan dan kaedah yang lebih longgar dalam syarat kelulusan geran itu.

“Syarat-syarat yang terlalu ketat tidak akan menjadikan geran ini sesuatu bantuan yang menarik dan secara langsung tidak akan dapat membantu meningkatkan prestasi industri pelancongan negara.

“Adakah wajar pinjaman bagi Tabung Industri Pelancongan dan Tabung Infrastruktur Pelancongan perlu diaktifkan semula? Pihak Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya (MOTAC) haruslah mengkaji adakah penubuhan tabung-tabung ini telah mencapai matlamatnya.

“Sekiranya tidak, apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan supaya pemain-pemain industri pelancongan negara kita mendapat manfaat penuh darinya?” soalnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here