
JOHOR BAHRU – Ketua Pemuda DAP, Howard Lee Chuan How tampil memohon maaf atas keterlanjuran menggelarkan parti, pemimpin dan ahli UMNO sebagai celaka, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji itu berbuat demikian selepas menyedari istilah yang digunakan itu agak kasar walaupun mendakwa ada asasnya yang tersendiri.
“Saya harus mengambil peluang ini untuk memohon maaf kepada ahli, penyokong, pengundi dan sesetengah pemimpin UMNO.
“Mohon maaf ini tanpa berbelah bahagi kepada penyokong, ahli dan sesetengah kepimpinan UMNO atas kekasaran saya,” katanya Dalam program Johor Memilih MalaysiaGazette seperti dilaporkan portal berita itu.
Perkataan itu dilemparkan Howard pada ceramah Pakatan Harapan (PH) pada 28 Februari lalu yang disiarkan secara dalam talian di Facebook Johorkini.
Dalam ceramah itu, Howard mengulas berkaitan peralihan kuasa di beberapa negeri selepas kemenangan PH.
”Akhirnya satu demi satu pusat tumbang, satu demi satu depa rampas, tak cukup nak memusatkan kuasa kepada UMNO. UMNO mengambil langkah, mengorak langkah yang jahat, keji, celaka, kasar sikitlah, tapi memang celaka. Sekarang Johor terpaksa buat ini (PRN),” katanya.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berdepan dengan Howard ketika permohonan itu dibuat.
Menurut beliau, perkataan celaka bagi orang Melayu cukup sensitif.
”Keterlanjuran orang muda itu adalah biasa tapi kesediaan Howard untuk meminta maaf adalah jiwa yang besar. Dan, keterbukaan meminta maaf itu satu budaya yang perlu diterapkan,” kata Asyraf.
Nasihat Ketua Pemuda UMNO, sebagai pemimpin generasi baharu perlu melakar politik dengan membina dan membahas polisi seperti yang didambakan oleh golongan muda.
“Kita orang muda perlu tinggalkan politik lama dan kuno, bergerak kepada politik baharu, berhujahlah berdasarkan fakta, bukan memainkan sentimen kebencian dan amarah semata-mata,” tambahnya.