
KIEV – Tentera Rusia didakwa menghalang orang awam daripada meninggalkan bandar Mariupol, hari ini.
Laporan The Guardian menyebut, dakwaan itu dibuat oleh Datuk Bandar Mariupol, Vadym Boichenko.
“Mereka menyekat cubaan kami mengeluarkan mereka yang tercedera, orang-orang tua dan kanak-kanak.
“Pada masa yang sama, mereka turut memusnahkan sistem rel kereta api dan jambatan, dan memotong bekalan elektrik dan air,” kata Boichenko.
Katanya lagi, bandar itu kini berdepan dengan krisis kemanusiaan kerana bekalan makanan dan ubatan juga tidak dapat dibawa masuk kerana serangan berterusan tentera Rusia sejak 24 jam lalu.

Sementara itu, di wilayah Chernivih, sembilan orang awam dilaporkan terbunuh manakala empat lagi tercedera setelah serangan udara Rusia mengenai dua buah sekolah dan kawasan perumahan, hari ini.
Gabernor Chernivih, Viacheslav Chaus berkata, operasi menyelamat masih diteruskan pada ketika ini.