
KIEV – Sekumpulan petugas media dari Sky News nyaris maut apabila terperangkap dalam satu serang hendap oleh pihak yang tidak dikenali berhampiran Kiev, baru-baru ini.
Dalam kejadian itu, Ketua Wartawan, Stuart Ramsay tercedera di belakang badannya setelah terkena tembakan.
Sementara itu, jurukamera Richie Mockler turut terkena dua das tembakan yang mengenai baju perisainya.
Tiga lagi anggota krew berkenaan iaitu Dominique van Heerden, Martin Vowles dan Andrii Lytvynenko tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kejadian menakutkan itu berkenaan berjaya dirakam menerusi kamera yang dibawa oleh krew berkenaan.
Ketika kejadian, krew wartawan tersebut sedang berada dalam sebuah kereta melakukan tinjauan di sebuah lebuh raya apabila dengan tiba-tiba dihujani tembakan ketika hampir tiba di sebuah lokasi berupa sebuah pos kawalan.
Kelima-lima mereka dapat melarikan diri dengan menyusuri dinding konkrit menuju ke sebuah kilang yang sudah ditinggalkan berhampiran lokasi mereka diserang.
Mereka kemudiannya diselamatkan oleh sekumpulan polis Ukraine yang kebetulan sedang melakukan rondaan berhampiran kawasan berkenaan.
“Tembakan pertama terkena pada cermin hadapan kereta. Kemudiannya kami mula dihujani tembakan.
“Kami dapat rasa hujanan peluru menembusi badan kereta…. Stereng kereta dan papan pemuka habis terkena tembakan. Pada ketika itu, saya terfikir adakah saya akan mati dalam keadaan yang menyakitkan,” kata Ramsay.
Kumpulan yang menyerang krew tersebut dipercayai anggota pasukan peninjau tentera Rusia yang sedang cuba mendekati ibu negara Ukraine itu.