
CYBERJAYA – Hanya guru Interim Bahasa Inggeris (BI) yang memenuhi syarat penguasaan (CEFR C1) dan lulus temuduga dilantik secara tetap sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, urusan pengambilan PPP baharu bagi opsyen BI perlu mengambil kira penguasaan BI pada tahap proficient iaitu CEFR C1.
Bagaimanpun, guru kategori sama yang tidak memenuhi syarat CEFR C1 perlu menduduki temu duga untuk tujuan lantikan tetap.
“Mereka perlu mencapai tahap CEFR C1 dalam tempoh percubaan, iaitu satu hingga tiga tahun bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan,
“KPM sentiasa berusaha untuk meningkatkan kompetensi guru BI bagi memberi impak kepada pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
“Ini secara langsung akan meningkatkan tahap penguasaan murid dalam BI seperti yang diaspirasikan berdasarkan piawaian antarabangsa CEFR,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, pengumuman berita baik oleh KPM itu turut dikongsikan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dalam satu kenyataan di Facebooknya.
Beliau berkata, keputusan itu adalah bukti komitmen KPM memastikan nasib guru interim terbela.
“Sebagaimana yang kita sedia maklum, kumpulan guru interim Bahasa Inggeris (BI) lantikan April 2019 akan tamat kontrak masing-masing pada 21 April ini.
“Perbincangan telah dilakukan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan bagi mencari penyelesaian agar kumpulan guru interim ini diberikan lantikan tetap.
“Semoga ketetapan ini membantu melancarkan lagi pengoperasian sekolah, khususnya sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) demi pendidikan anak-anak generasi pewaris negara. Kongsikan berita baik ini,” katanya.